"Tidak ada anugerah yang lebih baik selain peroleh sifat sabar." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sayyid Qutb menulis Tafsir Fi Zilal ketika dalam penjara, Hamka mengarang Tafsir al-Azhar dari balik jeriji penjara, Said Hawwa mengarang Tasfir al-Asas juga dari empat penjuru tembok bisu yang di Syria. Kenapa pula diri ini tidak segar menulis walau dalam keadaan yang sungguh selesa?

Sunday, August 29, 2010

Keaghaiban Yang Ditutup Allah



~ In The Name Of Allah, The Most Gracious, And The Most Merciful ~


alhamdulillah.. di kesempatan ini ana masih lagi bernafas di dalam bulan baik iaitu Bulan Ramadhan 1431 H.. syukur alhamdulillah (^_^).. di sini, ana nak berkongsi sedikit cerpen atau petikan yang bertajuk " Keaghaiban Yang Ditutup Allah ".. harapan ana untuk kita sama-sama membaca cerpen / petikan ini bagi menambah ilmu di dada dan muhasabah diri kita balik.. insyaAllah..





Kita sebagai manusia merupakan makhluk yang bersifat lemah dan hamba yang penuh dengan kebergantungan kepada Allah SWT. Sepanjang kita hidup saban hari, kita tidak mungkin terlepas daripada melakukan dosa. Dosa yang kita lakukan itu boleh jadi secara terang-terangan atau secara sembunyi-sembunyi. Dosa yang terang-terangan akan mengundang rasa malu kita terhadap orang lain, melainkan jika hati kita sudah menjadi sekeras batu. Oleh itu, kita lebih banyak melakukan dosa yang tersembunyi. Dosa yang tidak siapa tahu melainkan kita dan Allah.


Daripada An Nawas bin Sam'an RA, Nabi SAW bersabda: "


Kebajikan itu keluhuran akhlak sedangkan dosa adalah apa-apa yang dirimu merasa ragu-ragu dan kamu tidak suka jika orang lain mengetahuinya." (HR Muslim)


Kalau dibukakan segala dosa yang kita lakukan, tentu tidak akan ada sesiapa yang akan menghormati kita. Kalau Allah membuka segala dosa yang kita lakukan sembunyi-sembunyi baik dalam pandangan, pendengaran, perbuatan, ataupun lintasan hati, nescaya tidak akan ada pun manusia yang mahu memuji kita. Pujian yang manusia berikan adalah atas zahir yang terlihat mata. Namun, kita tentu lebih mengenali diri sendiri dan lebih tahu bagaimana status kita.


Apakah kita berasa sangat suci sehingga tidak pernah melakukan dosa di belakang manusia atau diri kita ini penuh dengan dosa rahsia? Misalnya di saat kita seorang diri melayari internet dan tidak ada mata lain yang melihat, apakah kita sudah melepasi batas penglihatan yang diizinkan Allah? Bagaimana dengan prasangka buruk dalam hati kita yang telah dilemparkan kepada sekian banyak manusia lain tanpa pengetahuan mereka? Bagaimana pula dengan perbuatan-perbuatan kita tatkala berseorangan? Astaghfirullahalaziim, banyak sangat dosa kita!


Firman Allah:


"...Dan janganlah kamu mendekati perbuatan-perbuatan yang keji, baik yang nampak di antaranya maupun yang tersembunyi..." (Surah Al-An'am:151)


Allah Maha Penyayang dan Dia tahu betapa lemahnya kita. Lalu Dia menutup keaiban-keaiban kita sehingga kita mampu berjalan di tengah-tengah manusia tanpa rasa malu, sekalipun kita telah melakukan segunung dosa di belakang mereka. Namun, adalah sesuatu yang sangat takabur jika dengan Allah pun kita tidak berasa malu. Bukankah Allah mengetahui apa yang tidak diketahui oleh manusia lain tentang diri kita? Maka, setiap kali kita ingin melakukan dosa di belakang manusia, ingatlah bahawa ada Allah yang lebih patut kita rasa malu kepadaNya berbanding manusia.


Mengapa? Kerana di akhirat kelak bukan manusia yang akan menghitung amalan kita. Allah yang paling tahu tentang diri kita dan Dia jugalah yang akan menghitung amalan kita. Hanya dengan rahmatNya kita akan dimasukkan ke dalam syurga. Kalau kita merasakan lindungan Allah ke atas keaiban kita itu adalah satu zon selesa, maka kita silap. Boleh jadi keaiban yang Allah tutup sementara atas muka bumi ini akan dibukakan kepada seluruh umat manusia di akhirat kelak jika kita tak benar-benar bertaubat kepadaNya.


Kadang-kadang kita suka mencanangkan dosa orang lain, sekalipun dosa tersebut tidak diceritakannya kepada orang lain, hanya kepada kita. Ingatlah akan sebuah hadith:


Daripada Abu Hurairah r.a. berkata:


"...Dan sesiapa yang menutup keaiban seorang muslim maka Allah ta'ala akan menutup keaibannya di dunia dan di akhirat. Dan Allah Ta'ala akan sentiasa menolong seorang hamba selama ia menolong saudaranya..." (HR Muslim)





Hadis ini menyeru kita untuk memelihara keaiban orang lain. Sebagai timbal balik, Allah akan menutup keaiban kita di dunia dan di akhirat. Subhanallah! Masihkah kita berhajat untuk mencanangkan dosa orang lain sehingga Allah juga akan membuka keaiban kita nanti? Malulah kepada Allah, takutlah kepada ancaman Allah. Jika kita hanya malu kepada manusia, kita tidak akan malu berbuat dosa di belakang mereka. Namun jika kita malu kepada Allah, kita akan sentiasa memelihara diri daripada dosa, dalam terang-terangan atau sembunyi-sembunyi.


Waspadalah akan firman Allah:


"Sesungguhnya orang-orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui, sedang, kamu tidak mengetahui." (Surah An-Nuur: 19)


Apabila Allah telah menutup keaiban kita, janganlah pula kita yang membukanya. Setelah selesai dosa sembunyi-sembunyi kita, janganlah diceritakan kepada orang lain. Renungilah sebuah hadis di bawah:


Diriwayatkan dari Abu Hurairah RA ia berkata, "Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Seluruh umatku akan diampuni dosa-dosa kecuali orang-orang yang terang-terangan (berbuat dosa). Di antara orang-orang yang terang-terangan berbuat dosa adalah seseorang yang pada waktu malam berbuat dosa, kemudian di waktu pagi ia menceritakan kepada manusia dosa yang dia lakukan semalam, padahal Allah telah menutupi aibnya. Ia berkata, "Wahai fulan, semalam aku berbuat ini dan itu". Sebenarnya pada waktu malam Tuhannya telah menutupi perbuatannya itu, tetapi justru pagi harinya ia membuka aibnya sendiri yang telah ditutupi oleh Allah." (Muttafaqun ‘alaih HR Bukhari dan Muslim).



Sungguh, Allah sentiasa menginginkan kebaikan bagi kita. Allah sentiasa membuka peluang dan ruang bagi kita untuk kembali bertaubat atas dosa yang kita lakukan di sebalik tabir. Namun, kita yang sebenarnya tidak mengambil peluang dan tidak menghargai tutupan-tutupan aib tersebut oleh Allah SWT. Setelah apa yang Allah lindungi daripada sekian banyak keaiban kita, apakah tidak wajar untuk kita bersyukur dan bertaubat? Renung-renungkan dan muhasabahlah diri kita, insyaAllah..




~ Jazakumullah Khairan Katheera ~


Tuesday, August 24, 2010

Cinta Yang Pasti



~ Cinta Yang Pasti ~


In The Name of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful


Remaja selalunya dikaitkan dengan cinta. Agak pelik jika dilihat seseorang yang memegang gelaran remaja tidak mempunyai perasaan ingin bercinta dan dicintai juga tidak ada keinginan untuk berkenal-kenalan (kononnya) dan berhubungan sama ada secara SMS ataupun surat (baru romantik kononnya) dengan sahabat lain yang berlainan jantina.


Adakah Islam membunuh terus naluri cinta ?
Adakah Islam langsung tidak memberi peluang kepada seseorang
untuk merasakan perasaan cinta?

Adakah Islam ini terlalu kejam apabila mengekang seseorang itu
daripada terjebak dengan percintaan ?


Bukan begitu saudaraku...


Islam adalah agama yang syumul! Segalanya sudah ditetapkan oleh syari'at supaya manusia tidak terus tenggelam pada bisikan dunia. Cinta yang diimpikan semasa remaja cuma fatamorgana yang tidak kekal. Cuma mainan remaja yang dibisik oleh hawa nafsu dan syaitan yang cuba menarik setiap bani Adam untuk bersamanya di neraka.


Cinta remaja sering membuatkan kita menipu diri sendiri. Pada fikiran sebilangan remaja, 'cuma setakat menelefon dan menghantar mesej dan surat bukannya sampai berjumpa berdua-duaan di taman bunga'


Firman Allah S.W.T:

(٣١) وَلَا تَقۡرَبُواْ ٱلزِّنَىٰٓ‌ۖ إِنَّهُ ۥ كَانَ فَـٰحِشَةً۬ وَسَآءَ سَبِيلاً۬

Maksud : Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).


Sedangkan mendekati zina pun sudah ditegah. Apatahkan lagi berzina!.


Mengapa Allah kata,
'JANGAN' kamu 'MENDEKATI ZINA'?


Mengapa tidak dikatakan,
'TIDAK PATUTLAH KAMU MENDEKATI ZINA'

atau
'TIDAK BAIK KAMU MENDEKATI ZINA'?


Ini kerana Islam telah menegaskan bahawa mendekati zina itu saja sudah haram hukumnya, apatah lagi jika berzina.


Asyik daripada menelefon kekasih pujaan itulah akan menaikkan keinginan nafsu untuk berjumpa dan kemudian ke arah kegiatan-kegiatan yang seterusnya.




Ketahuilah sahabat-sahabatku sekalian,


Sesungguhnya terdapat enam perkara yang mendekatkan diri kita kepada zina. Moga kita sama-sama dapat memelihara diri kita dari menghampiri dan kemudiannya melakukan perkara-perkara tersebut yang antaranya :

1. (Melihat)
نظرة

-Zina itu bermula apabila seseorang itu tertarik kepada pasangan yang berlainan jantina dengannya

2. (Senyum)
فسامهم

-Seterusnya senyuman diukir untukmenarik perhatian masing-masing

3.(Memberi Salam)
فسلام

- Salam diberi sebagai tanda memulakan hubungan

4.(Bercakap Kosong)
فكلام

-Setelah mengenal hati budi masing-masing, seringkali mnelefon dan menghantar mesej yang semuanya dipenuhi dengan cakap kosong dan angan-angan cinta

5. (Berjanji)
فموعدون

- Mula mengikat janji untuk berjumpa untuk mengenali dengan lebih dekat dan melepaskan rindu di hati

6. (Berjumpa)
فلقاءون

-Dan satu perjumpaan diadakan berdua-duaan (tiga sebenarnya - yang ketiga makhluk bernama syaitan) maka akan berlakulah zina di mana nafsu tidak mampu menahan amarah, disinilah permulaan zuriat dibuang di longkang-longkang, di celah-celah belukar serta semak samun, di tong-tong sampah, di jalanan dan juga di kaki lima. Di sinilah permulaan tergadai segala kehormatan diri. Disinilah permulaan untuk melepaskan nafsu yang tidak pernah kenal kepuasan dan maruah diri.


Zina bukan sahaja menggadai kehormatan diri malah kehormatan agama, masyarakat dan ibubapa malah merosakkan generasi ummah! Mahukah kamu untuk memalit najis yang hina di muka ibubapa setelah mereka membesarkan kamu ibarat menjaga sebutir permata yang berharga? Mereka juga yang telah bersusah payah melahirkan serta membesarkan kamu dengan menggunakan segala kudrat yang ada. Mereka yang telah banyak berjasa dalam kehidupanmu


Wahai rakan-rakanku sekalian,


Waktu ini bukanlah masanya lagi untuk kita bercinta. Perjuangan dan perjalanan masih jauh dan kita masih mentah untuk melalui alam percintaan.
Percintaan yang sebenar bermula apabila kita mula mahu melangkah ke gerbang perkahwinan.


Carilah cinta yang disandarkan kepada-Nya yang menjanjikan kemanisan di duniadan kelebihan di akhirat. Sesungguhnya cinta kepada makhluk ciptaan-Nya merupakan satu fitrah yang tidak boleh dielak oleh seseorang yang bergelar manusia. Sedangkan Adam pun berasa sunyi tanpa kehadiran Hawa, bukan? Apakah yang tidak ada di syurga?


Fikirkanlah tentang ganjaran serta nikmat-nikmat yang bakal menanti kita di syurga yang tiada di dunia sementara kita melawan dari menuruti hawa nafsu kita yang sentiasa mahukan keseronokan yang tidak kekal juga kenikmatan yang tidak berpanjangan.


Marilah sama-sama kita menyeru diri kita serta kawan-kawan kita sekalian untuk kembali kepada ajaran agama kita sebagai pedoman mereka dalam kehidupan agar negara kita sentiasa dalam perlindungan dan rahmat Tuhan.


Waallahu'alam..


Artikel yang baik untuk dibaca berkaitan
C.I.N.T.A tulisan Hilal Asyraf.



~ Jazakumullah Khairan Katheera ~



Friday, August 13, 2010

Batas




Kepada Allah kita kembali

Sebagai seorang yang dinamakan manusia, kita dilahirkan penuh dengan kekurangan. Dan antara kekurangan yang amat jelas dapat dilihat kini adalah lemahnya seseorang dengan jantina yang berlawanan. Lelaki akan lemah apabila berdepan wanita, dan wanita akan lemah apabila berdepan dengan lelaki.

Mungkin ada yang merasakan, lelaki dan perempuan boleh berkawan sahaja tanpa ada hubungan yang 'lain' . Ya, benar. Memang boleh. (Boleh dari segi sosial, saya bukan bercakap tentang hukum)

Namun kita harus sedar dan mengakui kekurangan yang wujud dalam diri kita. Sudah berapa kali kita mendengar kisah lelaki dan perempuan yang bersahabat baik, menjadi best friend, dan rupanya dalam diam si perempuan menyimpan perasaan terhadap si lelaki. Dan apabila lelaki mengetahuinya, mungkin dia akan berasa bingung kerana mereka hanya kawan, bagaimana kawannya boleh menyimpan perasaan?

Biasanya, di saat ini, apabila dah susah, barulah kita nak kembali kepada Islam. Barulah kita nak ikut cara berhadapan dengan berlainan jantina yang ada dalam agama.

Kaum lelaki kena sedar, bahawa hati perempuan ini tersangatlah lembut.

Ya,ya, saya tau, saya tau, mungkin itu jawapan yang keluar.

Mungkin kalian tahu, tapi kalian belum memahami.



Batas perlu dijaga

Adakah hanya apabila lelaki meluahkan perasaan maka hati perempuan akan 'cair'? Tidak, semua perkara yang anda lakukan, yang bagi anda mungkin itu perkara biasa, contohnya mengambil berat terhadap si perempuan, disebabkan dia perempuan dan mungkin lebih 'vulnerable' menyebabkan kalian terlebih concern.

Atau mungkin dengan gurauan anda yang mungkin bagi anda biasa, namun dapat menyentuh hati perempuan itu. Hatta perkara kecil sekalipun. Andai dia dapat merasai keikhlasan anda, hatinya akan sangat mudah untuk 'terpaut'. (Maaf, tak dapat fikir perkataan lain yang kurang 'geli')

Atau mungkin layanan anda terhadapnya yang dirasakan 'lain', walaupun hakikatnya anda memanglah seorang yang 'friendly' dan 'happy go lucky'. Contohnya.

Bagi kalian itu perkara biasa, namun sang perempuan yang terseksa. Ini pemerhatian saya daripada banyak perkara yang berlaku di sekeliling. Selepas itu barulah nak saling menyalahkan antara satu sama lain. Yang peliknya, kita jarang nak menyalahkan diri sendiri terlebih dahulu.

Lelaki: "Sapa suruh pikir lain? Aku tak pernah mengaku apa-apa pun"
Perempuan: "Action speaks louder than words! Dah tau tak suka buat apa nak baik-baik dengan aku!?"


Akhirnya gaduh tak berhenti, kerana dua-dua tak nak mengakui bahawa masing-masing dah terpesong dari panduan tuhan.

Contoh lain, menzahirkan doa kita padanya. Misalnya, "Saya selalu doakan awak"ataupun apa-apa saja doa yang diungkapkan buat perempuan itu dan diketahui olehnya. Nampak macam ok kan? Tapi benda macam itu pun boleh buatkan perempuan itu suka. Contoh ayat dalam hati: "Oh baiknya hati dia, doakan aku...waaaaa"

Doakanlah puas-puas, namun rahsiakanlah darinya. Kan doa itu dipanjatkan ke atas tuhan. Jadi cukuplah Allah yang mengetahuinya. (Sekarang baru korang tau kan. Dah tau jangan nak ambil kesempatan nak try buat pula. Ada yang kena fire karang)

Di sini, barulah kita nampak hikmah mengapa Allah menetapkan berbagai-bagai aturan dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan. Kerana yang menciptakan PASTI lebih tahu tentang ciptaan-Nya. Namun kita sering melampaui batas itu, mungkin kerana lupa, atau disebabkan hati kita yang jauh dari-Nya, wallahua'lam, masing-masing boleh jawab sendiri.

Jadi sama-sama kita mengingatkan diri sendiri dan sahabat-sahabat kita.



Prevention is better than cure

Kadang-kadang (selalu sebenarnya), seorang perempuan terpaksa mengeraskan hatinya, demi untuk tidak menjatuhkan diri ke dalam fitnah. Andai kita merasakan bahawa perempuan itu sangat tegas terhadap orang lain (maksudnya lelaki), ketahuilah bahawa dia sebenarnya lebih tegas terhadap dirinya sendiri. Mungkin bagi lelaki pun begini, saya pun tak tahulah sebab saya bukan lelaki, tetapi kadang-kadang kita memang perlu mengeraskan hati demi menjaga maruah diri.

Perempuan sememangnya dilahirkan berhati lembut. Namun sebagai 'respons' terhadap apa yang ada di sekelilingnya, terpaksa mengeraskan hati sehinggakan orang merasakan dia seorang yang keras hati, ego dan sebagainya. Jadi bantulah kami kaum perempuan, nasihatlah kami dengan baik, jangan 'test' limit kami, kerana mungkin saja kami akan gagal. Moga kita sentiasa dipelihara Allah dalam setiap perkara.

Sekian cerita kita hari ini, semoga dari sehari ke sehari kita makin dekat kepada Allah.

Amiiin.

Pengajarannya: Ikutlah jalan yang selamat, jangan menjerumuskan diri sendiri ke dalam lembah kebinasaan. Carilah jalan yang selamat itu.

p/s : ada serba sedikit mengenai kisahku suatu ketika dahulu.. coretan ini adalah penyedaran buat diriku supaya x terlajak..



Tuesday, August 10, 2010

Harapan Ramadhan


..:: Harapan Ramadhan ::..




Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah…
Dengan rahmatMu oh Tuhanku…
Ku tempuh jua

_____________________________________________________________________


In the Name of Allah, The Most Gracious, and The Most Merciful


Syukur kita ke hidrat Illahi, insyaAllah esok seluruh umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan 1431H.. di kesempatan ini, ana ingin memohon maaf kepada semua sahabat ana yang mengenali diri ana ini, x kira la samada sahabat ana di Institusi Usrah, MMU Cyberjaya, Menara TM, TM Annexe 1 & TM Annexe 2 serta sahabat2 handai.. harapan ana agar tahun ini punya Ramadhan lebih baik dari tahun2 sebelumnya.. insyaAllah..


"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa seperti mana diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa." Al-Baqarah 183


Wahai sahabat-sahabatku, terdapat tiga kategori manusia yang terhasil daripada Madrasah Ramadhan


1- seseorang yang bertambah imannya, amalnya berbanding yang sebelumnya
2- seseorang yang sama imannya, amalnya berbanding yang sebelumnya
3- seseorang yang berkurang imannya, amalnya berbanding yang sebelumnya


Agak-agaknya kita akan dimasukkan ke dalam kategori mana? Alangkah berbahagianya andai kita termasuk di dalam kategori pertama. Marilah kita koreksi diri, muhasabah setiap amalan kita supaya ianya membantu mempertingkatkan ibadah pada bulan Ramadhan yang bakal kita lalui nanti. Jadikan Ramadhan kali ini sebagai wadah untuk kita tingkatkan amalan agar ia akan menjadi Ramadhan yang terbaik pernah kita lalui, insyaAllah.


Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak.